Mara terajui Malaysian Japanese International Institute of Technology
Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.myMARA bersedia memikul tanggungjawab menyegerakan penubuhan Malaysian Japanese International Institute of Technology (MJIUT) selepas Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) mengambil alih peranan itu daripada Kementerian Pengajian Tinggi. Ketua Pengarahnya, Datuk Nam Marthinin, berkata sebagai agensi dipertanggungjawabkan MeCD merealisasikan penubuhan itu, satu Jawatankuasa Teknikal MJIUT ditubuhkan, dipengerusikan beliau sendiri yang kini dalam proses menyediakan nota kabinet berkaitan penubuhan institusi berkenaan untuk dibentangkan pada mesyuarat pertengahan bulan ini. Selepas pembentangan itu katanya, satu pertemuan akan menyusul antara Jawatankuasa Teknikal dengan Konsortium Universiti Jepun pada 29 November ini di Jepun bagi membincangkan secara terperinci berkaitan penubuhan universiti itu.
Universiti hasil idea bekas Perdana Menteri kedua-dua negara, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Junichiro Koizumi itu amat bermakna bagi Malaysia dalam usaha melahirkan lebih ramai graduan berkemahiran dalam bidang teknologi, selain menonjolkan negara ini sebagai pusat pembelajaran teknikal dan pembangunan kejuruteraan terkemuka di rantau ini. “Perbincangan merangkumi aspek berkaitan konsep universiti, program akademik, kurikulum, peruntukan, kemudahan infrastruktur, tenaga pengajar dan kaedah pedagogi. “Pada dasarnya, semua aspek itu sudah ada termasuk kurikulum yang dibangunkan Pusat Universiti Malaysia-Jepun (MJUC), cuma kita memerlukan persetujuan kedua pihak dalam perkara itu,” katanya kepada Berita Harian.
Sekiranya persetujuan dan kelulusan kedua pihak berjaya dicapai, Nam berkata, MJIUT akan mula beroperasi pada Julai tahun depan dengan sasaran pengambilan pelajar kumpulan pertama seramai 100 orang. Katanya, Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Beranang akan dijadikan kampus sementara sebelum keputusan pembinaan kampus tetap ditentukan Jawatankuasa Teknikal MJIUT. Beliau yang enggan menjelaskan lebih lanjut mengenai lokasi dan kos pembinaan kampus tetap MJIUT bagaimanapun mengakui perkara itu ada dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal. “Sebagai permulaan, MJIUT akan menawarkan program peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan, dan antara pengkhususan yang dikenal pasti adalah kejuruteraan elektrik, kejuruteraan mekatronik dan kejuruteraan mekanikal.
“Pengambilan terbuka kepada pelajar tempatan dan antarabangsa, terutama dari negara anggota Asean yang berhasrat melanjutkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang berkenaan,” katanya. Sambil menyatakan keyakinan terhadap keupayaan Mara menubuhkan universiti itu, Nam berkata, pengalaman agensi itu dalam penubuhan institusi pengajian tinggi terbukti menerusi kejayaan menubuhkan Universiti Kuala Lumpur dan institusi pendidikan Mara (IPMa). Berdasarkan keyakinan itu, katanya, Mara yakin mampu merealisasikan penubuhan MJIUT menerusi kerjasama pelbagai pihak termasuk Yayasan Pelajaran Mara yang turut dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Teknikal MJIUT berdasarkan pengalaman yayasan itu menjalinkan kerjasama pendidikan dengan universiti Jepun menerusi projek Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi.
Cetak artikel Hantar pada kawa